Search

Predator airbuns antara 3 senapang angin dirampas

January 4, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki yang menyimpan tiga senapang angin termasuk jenama ‘Predator Airbuns’ mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sampir, Jalan Teringai, Kota Marudu, kelmarin.

Serbuan jam 3.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) turut merampas satu kotak peluru jenis senapang angin.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, anggota D9 JSJ membuat serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua senapang angin termasuk jenama ‘Predator Airbuns’ dan satu laras barrel senapang angin serta peluru.

“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu untuk siasatan lanjut.

Senapang angin yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sampir, Jalan Teringai, Kota Marudu. – Foto/PDRM

“Siasatan mendapati, suspek mengaku bahawa senapang angin berkenaan adalah miliknya.

“Suspek turut mengaku membeli senapang angin itu secara atas talian,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960. – Info X