KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan bot nelayan tempatan bersama lima nelayan termasuk tekong warga Indonesia kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam satu operasi, semalam.
Bot berkenaan ditahan di kedudukan kira-kira 15 batu nautika barat laut Kuala Papar, di sini, jam 5.30 petang
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, ketika diperiksa, didapati nama tekong dan kru tiada dalam lesen bot berkenaan.
“Seterusnya pemeriksaan turut mendapati semua mereka memiliki salinan pengenalan diri yang meragukan.
“Kru bot terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, bot dan kru dibawa masuk ke jeti APMM, Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“APMM menasihatkan semua pengusaha bot nelayan tempatan untuk terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.
“Kita juga tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang tugas pegawai APMM dalam menguatkuasakan undang-undang Malaysia di lautan,” katanya. – Info X