Search

APMM rampas 4 bot terbabit kegiatan bom ikan

January 4, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan empat bot ketika sedang melakukan aktiviti pengeboman ikan di Timur Laut Tanjung Tabu- Tabu, di sini, petang semalam.

Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dilakukan selepas semua individu yang berada di atas bot berkenaan bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, insiden berkenaan berjaya dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Operasi Pluto Timur.

Bot bersama peralatan bom ikan dirampas APMM di perairan Semporna. – Foto/APMM

Katanya, setibanya di lokasi, pasukan berjaya mengesan empat bot tanpa nombor pendaftaran yang sedang terapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, beberapa individu dipercayai tekong bot bersama awak-awaknya bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di dalam semua bot menemui sejumlah ikan yang dianggarkan sebanyak 50 kilogram bersama botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Amir berkata, semua rampasan dianggarkan hampir RM20,000 dan kes ini akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

Peralatan disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan. – Foto/APMM

Sementara itu, Amir berkata, Maritim Malaysia Semporna tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktivi pengeboman ikan.

Katanya, ia bukan saja salah disisi undang- undang malah boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama para penyelam.

“Tambahan lagi aktiviti ini akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian,” katanya.

Sehubungan itu, Amir berkata, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, ia bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah, orang ramai terutamanya komuniti maritim.

“Masyarakat terutamanya membabitkan komuniti laut diminta supaya membantu dengan menyalurkan maklumat atau aduan kepada Zon Maritim Semporna menerusi talian 089-782619 atau MERS 999,” tegasnya. – Info X