LABUAN: Tindakan sebuah kapal kargo yang menjalankan aktiviti kimpalan kapal tanpa kebenaran mengundang padah selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.63 batu nautika barat laut Pulau Papan, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi Idros berkata, turut ditahan dalam operasi pada jam 7 malam itu ialah 14 kru warga Malaysia dan Indonesia yang berada di dalam kapal berkenaan.
“Bot peronda APMM yang sedang membuat rondaan operasi Op Sejahtera 1/2006, Op Khas Kuda Laut 2/2020 dan Op Tiris 3.0 mengesan sebuah kapal kargo berwarna jingga dan putih yang sedang bersauh di perairan Pulau Papan pada jam 6.55 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan terhadap kapal kargo terbabit dipercayai melakukan kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, semua kru bagaimanapun memberikan kerjasama yang baik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, nakhoda dan ketua jurutera beserta dokumen kapal ditahan dan dibawa ke Jeti APMM Labuan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan kimpalan dan kerja-kerja panas (hot work) tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Sekiranya didapati bersalah, pesalah akan dikenakan kompaun sebanyak RM50 ribu beserta hukuman denda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Izwanhadi menegaskan, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan di laut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan. – Info X