Search

DBKK mahu pastikan tiada kartel pasar malam

January 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) tidak akan berkompromi malah akan membatalkan lesen peniaga yang didapati terlibat dengan kartel pasar malam.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya akan meneliti dan menjalankan tindakan dalam mengenal pasti situasi sewa atas sewa dalam kalangan peniaga pasar malam.

“Langkah mewujudkan pasar malam di beberapa kawasan sekitar pusat bandar adalah bagi memberi peluang kepada penjaja kecil yang ingin menjana pendapatan seiring amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan meneliti dan menjalankan tindakan dalam mengenal pasti tidak berlaku situasi sewa atas sewa dalam kalangan peniaga pasar malam dalam memastikan misi mewujudkan pasar malam ini tercapai.

“DBKK akan memastikan mana-mana pihak yang didapati mengambil lesen tetapi tidak menjalankan perniagaan akan membatalkan lesen perniagaan terbabit dan memberikan kepada peniaga yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Mayor DBKK, di sini, hari ini.

Sabin berkata, DBKK sentiasa memastikan pusat bandar raya adalah kawasan mesra peniaga dan mengalakkan kemajuan pembangunan di bandaraya ini.

“DBKK mempunyai pasukan penguat kuasa yang sentiasa meningkatkan aspek perkhidmatan dan kita tidak akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan tanpa mendengar masalah peniaga terlebih dahulu.

“Sekiranya berhak untuk mendapat lesen, DBKK akan pastikan proses kelulusan permohonan bagi lesen perniagaan yang menepati syarat dipercepat dan mengeluarkan lesen kepada pemohon yang berhak.

“Tindakan penguatkuasaan bagaimanapun akan dilaksanakan sekiranya terdapat pihak yang masih ingkar dan kita akan lebih tegas dalam melaksanakan undang-undang selepas ini,” katanya. – Info X