TAWAU: Taktik juragan menyembunyikan pelbagai kosmetik tanpa permit di bawah muatan pisang dipercayai cuba diseludup masuk, gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.
Bot peronda APMM Tawau yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur mengesan sebuah bot kargo tempatan dalam keadaan mencurigakan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau.
Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan ditahan di kedudukan 1.9 batu nautika utara Sungai Pukul, di sini.
“Pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki pemegang pasport warga Indonesia berusia 35 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan hasil pertanian iaitu pisang.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot berkenaan menemukan pelbagai barangan kosmetik yang disembunyikan di bawah timbunan pisang di dalam bot berkenaan dipercayai produk dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas dokumentasi seterusnya mendapati juragan terbabit gagal
mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barangan kosmetik yang dibawa.
“Antara produk yang ditemukan di dalam bot iaitu 423 set kosmetik, 264 botol minyak angin pelbagai jenama, 200 botol penyembur deodorant pelbagai jenama dan beberapa produk kesihatan yang didaftarkan di negara jiran.
“Bot, muatan serta juragan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan
Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Beliau berkata, semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan
berjumlah RM56,000.
“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi
membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya. – Info X