KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan lori 10 tan dan kereta di Kampung Limatok di Jalan Kota Belud-Tuaran, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, mangsa berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan motosikal, lori 10 tan dan sebuah kereta.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikalnya dari arah pekan Kota Belud menuju ke arah Tuaran.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sedang memotong lori 10 tan yang dipandu lelaki berusia 37 tahun tetapi telah melanggar dengan sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 63 tahun yang datang dari arah bertentangan.
“Motosikal yang ditunggang mangsa kemudian terpelanting ke arah jalan kiri hadapan lori 10 tan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrudin berkata, disebabkan pelanggaran itu dan jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat mengelak dan terlanggar penunggang motosikal.
“Penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Shahrudin berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu.
“Patuhi undang-undang jalan raya serta pastikan kenderaan dalam keadaan baik,” katanya. – Info X