KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan kerana memiliki selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan peluru susulan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Udin, Jalan Kalabakan, Tawau, hari ini.
Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama anggota Balai Polis Bombalai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 12.05 tengah hari.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abd Rahim berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah berkenaan menemui satu laras senapang jenis bakakuk dan lima butir peluru.
“Suspek berusia 53 tahun dan barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Tawau untuk tindakan lanjut.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek mengaku bahawa senjata buatan sendiri jenis bakakuk adalah miliknya dan mengaku senjata berkenaan diberikan oleh rakannya yang telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber suspek memperoleh senjata berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. – Info X