KOTA KINABALU: Perkhidmatan kereta api di antara Stesen Beaufort dan Stesen Rayoh, Tenom terjejas berikutan kejadian tanah runtuh yang dilaporkan berlaku di Kilometer 102.9, semalam.
Menerusi makluman dikeluarkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), kejadian tanah runtuh di tebing Sungai Padas itu menyebabkan landasan tidak selamat dilalui.
Berikutan itu, JKNS memaklumkan perkhidmatan kereta api yang berulang-alik di antara Stesen Beaufort dan Rayoh hanya sampai di Kilometer 102.8 sehingga kerja pembaikan selesai.
“Laluan Beaufort – Rayoh – Beaufort mengalami hakisan tanah di KM102/9 bersebelahan dengan landasan kereta api.
“Tambahan pula hakisan tanah pada bahagian sungai sukar untuk dibuat pemeriksaan dan ada kemungkinan telah mengalami hakisan yang besar sehingga menyebabkan rekahan tanah dikawasan terjejas sangat jelas.
“Bagi menjamin keselamatan perkhidmatan kereta api dan para penumpang, landasan di KM102/9 ditutup bermula pada hari ini (8/1/2024) (Isnin) sehingga kerja-kerja pembaikan landasan siap sepenuhnya dan selamat untuk dilalui.
“Oleh itu perkhidmatan kereta api hanya boleh beroperasi dari stesen Beaufort -KM102/8 sahaja,” kata makluman itu yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JKNS.

JKNS menyediakan empat perkhidmatan ulang-alik di antara Stesen Beaufort dan Kilometer 102.8, Rayoh iaitu masing-masing pada jam 6 pagi, 9 pagi, 1.30 tengah hari dan 4.30 petang.
Katanya, perubahan itu hanya sementara sehingga landasan di Kilometer 102.9 boleh dilalui kereta api.
Perkhidmatan kereta api di laluan berkenaan menjadi pengangkutan utama penduduk untuk pelbagai urusan harian, termasuk membawa murid dan pelajar sekolah. – Info X