LAHAD DATU: Cubaan seorang lelaki warga Filipina menyeludup keluar beras dan minyak masak gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.
Dalam kejadian jam 4.27 petang, suspek berusia 44 tahun ditahan APMM Zon Lahad Datu selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di 0.3 batu nautika di kawasan selatan rumah api Tanjung Labian.
Pengarah APMM Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda APMM kemudian bertindak menahan bot pam berkenaan yang dinaiki seorang lelaki.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah berdasarkan tingkag laku dan penemuan peralatan menghisap dadah.
“Turut dirampas 200 kilogram beras, 17 kilogram minyak masak, sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua enjin pam.
“Anggaran rampasan adalah berjumlah RM9,500,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, beras dan minyak masak berkenaan disyaki dibawa keluar untuk dijual ke negara jiran.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 iaitu cubaan menyeludup beras.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya.
Sementara itu, beliau memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah di laut. – Info X