Search

Tangki biru diagih kepada penduduk bukan kerana pilihan raya semakin hampir

January 10, 2024

Info X Reporters

INANAM: Sumbangan tangki air biru atau lebih popular dipanggil tangki biru sering dikaitkan oleh masyarakat dengan politik terutamanya apabila pilihan raya semakin hampir.

Bagaimanapun, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) bagi kawasan Inanam, Datuk William Majimbon menepis dakwaan bahawa pengagihan tangki biru adalah petanda pilihanraya Sabah bakal diadakan.

Katanya, tangki air satu keperluan asas bagi penduduk yang tidak mendapat bekalan air oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

“Tangki air biru sudah sinonim dengan pilihan raya kerana pada masa yang lalu, bekas air itu rancak diagihkan menjelang dan masa pilihan raya diadakan.

“Pejabat PPM Inanam banyak menerima permohonan untuk tangki daripada penduduk yang bergantung kepada bekalan air graviti.

“Bekalan air sering terganggu, terutama musim hujan, paip sumbat dan air kabut. Dalam masa ini tangki air sangat diperlukan untuk menyimpan air kegunaan harian,” katanya seperti dipetik portal talantang.com, hari ini.

William berkata demikian selepas menyampaikan sebuah tangki 900 liter dan bakul makanan kepada seorang balu, Nelly James Arab, di Kampung Talimakas Kionsom, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemberian sumbangan termasuk tangki air bukan hanya dilakukan pada musim pilihan raya, tetapi pada waktu-waktu ketika rakyat memerlukan bantuan.

Menurutnya, bantuan kepada rakyat telah, sedang dan harus akan diteruskan kepada mereka yang memerlukan.

Terdahulu, selain tangki air dan bakul makanan, PPM itu juga akan memberikan perhatian kepada jalan raya menuju ke rumah Puan Nelly.

Katanya, dalam masa terdekat, pembaikan akan dibuat dengan menabur batu kelikir atas jalan raya kira kira 800 meter itu.

“Semoga semua sumbangan itu dapat dimanfaatkan, ” katanya.

Turut hadir di majlis ringkas itu Penyelia Kemajuan Masyarakat Albert Jumitih dan Pemaju Mukim Jonathan Damian. – Info X