Search

Lelaki ditahan cabul anak saudara

January 10, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan semalam selepas disyaki mencabul anak saudaranya berusia 20 tahun di Kampung Sri Bombalai Laut, Sungai Imam, di sini.

Suspek berusia 57 tahun ditahan berikutan laporan polis yang dibuat mangsa pada jam 4.08 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang berada di dalam bilik rumahnya lalu didatangi bapa saudaranya pada jam 11.04 malam, pada Isnin.

“Suspek dikatakan telah merapatkan dirinya dengan mangsa di dalam bilik berkenaan dan memberi tanda amaran supaya tidak bersuara, sebelum menyentuh bahagian sensitif badan mangsa.

“Mangsa kemudian berasa tidak selesa dan terus menjerit yang menyebabkan suspek bertindak melarikan diri dari biliknya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suspek diberkas polis selepas disyaki mencabul anak saudara. – Foto/PDRM

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesan suspek.

Jasmin berkata, pasukan polis kemudian bertindak menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan, sebelum berjaya menahan suspek kira-kira jam 9.19 malam.

“Suspek terus dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebatan,” katanya. – Info X