Search

Sindiket dadah tumpas, syabu RM1 juta dirampas

January 11, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Kegiatan sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan selepas polis merampas 20 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta, 3 Januari lalu.

Dalam operasi jam 6.30 pagi itu, tiga individu yang menjadi dalang sindiket berkenaan berjaya ditahan di kawasan tebing bebatuan berhampiran Jeti Umum, di sini.

Kejayaan berkenaan hasil operasi bersama sepasukan anggota dan pegawai Balai Polis Bum-Bum serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awam, sepasukan polis diarah untuk melakukan operasi pemantauan di sekitar Jeti Umum Semporna.

Dadah syabu seberat 20 kilogram bernilai RM1 juta yang dirampas di Semporna.

Katanya, hasil pemantauan, pasukan operasi mengesan kehadiran tiga lelaki yang menaiki bot kayu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemerhatian mendapati, salah seorang suspek membawa dua bagasi dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Pasukan operasi terus menyerbu bot berkenaan dan menahan semua suspek untuk pemeriksaan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, hari ini.

Mohd Farhan berkata, hasil pemeriksan, polis berjaya menemui 20 bungkusan plastik hitam berisi ketulan mampat bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Setiap beg berkenaan mengandungi 10 bungkusan hitam dengan anggaran berat kasar hampir 1 kilogram.

“Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah lebih kurang 20,227.4 gram dan bernilai hampir RM1 juta,” katanya.

Mohd Farhan berkata, siasatan awal juga mendapati semua dadah yang dirampas ini disyaki untuk diedarkan ke negara jiran dan dianggarkan jumlah satu kilogram dadah boleh digunakan seramai 5,000 penagih.

Mohd Farhan Lee (tengah) ketika sidang media di pejabatnya susulan kejayaan rampasan dadah syabu seberat 20 kilogram.

“Ujian saringan air kencing awal ke atas ketiga-tiga suspek berusia lingkun 36 hingga 38 tahun itu juga positif dadah jenis Methamphetamine.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkenaan pengedaran dadah di daerah ini.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta untuk menyalurkan maklumat di talian 089-782020 atau boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Adzilee Sulu di talian 014-8665087.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ini yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat,” tegasnya. – Info X