LABUAN: Tiga penjawat awam direman selama lima hari selepas dipercayai menyalahgunakan jawatan untuk melantik syarikat milik ahli keluarga sendiri sebagai pembekal alatan sukan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan hari ini, ketiga-tiga suspek didakwa memberikan kerja pembekalan alatan sukan yang dianggarkan bernilai RM80,000.
Perintah reman sehingga 28 Januari depan terhadap ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Labuan, pagi tadi.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek menggunakan kedudukan dan jawatan untuk melantik dua syarikat bagi kerja pembekalan berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati, syarikat yang dilantik adalah milik isteri dan adik kandung salah seorang suspek.
“Kedua-dua syarikat ini diberikan kerja-kerja pembekalan alatan sukan dengan kontrak dianggarkan berjumlah RM80,000.
“Siasatan awal mendapati kontrak ini membabitkan kerja-kerja pembekalan alatan sukan untuk sekolah-sekolah di Labuan sekitar tahun 2018 hingga 2021,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira jam 7 hingga 8 malam semalam, ketika hadir di Pejabat SPRM Labuan dibagi direkodkan keterangan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – Info X