KOTA KINABALU: Lapan lagi ahli Geng Upik termasuk seorang bekas anggota polis dan wanita yang disyaki terbabit dalam sindiket dadah terbesar di Sabah kini diburu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat daripada jumlah itu juga membabitkan warga Filipina dan Indonesia.
Katanya, bekas anggota polis yang diburu itu bersara awal pada November 2021 dan dikenali sebagai Haibil Kiraman atau Haibil, berusia 48 tahun dengan kali terakhir dikesan berada di Tawau.
“Kita turut memburu dua lelaki tempatan dikenal pasti sebagai Sahairul Din Sabudin atau Bantayan, 37, dengan kali terakhir dilihat di Kota Kinabalu selain Absar Musa (Absar), 37, yang kali terakhir dikesan di Tawau.
“Selain itu, empat rakyat Filipina dan seorang wanita Indonesia dikenal pasti sebagai Hasan Syamsuddin atau dipanggil Nas Botak, Joel Edwin (Dedek), Muhammad Sing Harun Musa (Thambi), Manan Ungok (Mike) dan Rohani Mohd Yunus (Karisa).
“Semua lapan individu itu dipercayai terbabit bersama Geng Upik dan kali terakhir mereka dilihat di sekitar daerah Papar, Tawau, Kota Kinabalu.
“Justeru, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan lapan suspek diburu ini diminta menyalurkan kepada balai polis berhampiran,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kota Kinabalu mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan, Akta 574 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, masing-masing terduduh didakwa melakukan kesalahan bermula 2015 hingga 24 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan dirakam terhadap tertuduh, manakala sebutan semula ditetapkan pada 1 Mac ini sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Ayob berkata, tiga lagi ahli sindiket berkenaan termasuk seorang wanita akan dituduh di mahkamah pada 1 Mac ini.
Katanya, mereka yang berusia 25 hingga 29 tahun itu kini berada dalam tahanan dengan seorang daripadanya di pusat pemulihan akhlak manakala dua lagi sedang dipenjara atas kesalahan dadah.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung peranan mereka tetapi mereka kemungkinan berperanan sebagai ‘transporter’.
“Semua suspek akan dituduh pada 1 Mac ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai pertuduhan 11 ahli sindiket itu di mahkamah semalam, Ayob Khan berkata dua daripadanya adalah pegawai dan anggota polis.
Katanya, seorang daripadanya berpangkat Inspektor dan pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah manakala seorang lagi berpangkat Sarjan dan bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Kita tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawai atau penjawat awam lain yang terbabit dengan sindiket ini.
“Kita akan kesan, cari dan tangkap dan kita akan tuduh di mahkamah. Tidak ada tolak ansur,” katanya. – Info X