Search

Sembunyi petrol, diesel bawah timbunan barang runcit

January 23, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Taktik dua juragan menyembunyikan petrol dan diesel di bawah timbunan barangan runcit gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam dua operasi berasingan di perairan daerah ini, semalam.

Kedua-dua juragan warga tempatan dan Indonesia berusia 35 dan 32 tahun itu ditahan bot peronda APMM Tawau yang menjalankan Ops Sejahtera dan Pluto Timur di perairan berkenaan.

Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika menjalankan operasi, pihaknya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik di Kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau, jam 5.50 petang.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia membawa pelbagai barangan runcit dan menyembunyikan muatan bahan api jenis petrol sebanyak 12 gelen dianggarkan kira-kira 300 liter.

“Pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan tidak mempunyai sebarang kebenaran bagi membawa barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebuah lagi bot kargo turut ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau pada 6.30 petang hari yang sama.

Juragan membawa barangan runcit dan bahan api tanpa mengemukakan permit sah ditahan APMM di perairan Tawau. – Foto/APMM

“Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki warga tempatan yang bertindak selaku juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot berkenaan.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot itu menemukan barang kawalan berjadual iaitu lima gelen berisi petrol dan 19 gelen berisi diesel yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit dengan anggaran sekitar 600 liter,” katanya.

Shahrizan berkata, Pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan itu gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

“Kedua-dua bot kargo bersama juragan dan semua muatan ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk disiasat oleh pegawai APMM mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967 bagi kesalahan yang dilakukan.

“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM60,000,” katanya.

Tambah beliau lagi, taktik membawa barang kawalan dalam kuantiti kecil secara berulang dan membawa barang kawalan melebihi kuota yang dibenarkan sering kali digunakan oleh pengusaha yang mementingkan keuntungan bagi mengelak daripada dikesan oleh penguat kuasa.

“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah,” katanya. – Info X