Search

Politiking berterusan hanya rugikan rakyat – Hajiji

January 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Politiking secara berterusan tidak menguntungkan sesiapa malah hanya akan merugikan rakyat dan negara, tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebab itu beliau berkata, kerajaan negeri yang dipimpinnya terus fokus untuk merealisasikan dan memenuhi aspirasi rakyat yang mengutamakan kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan hidup.

“Politiking yang berterusan hanya merugikan rakyat dan negara. Sekarang ini adalah masanya untuk bekerja, berkidmat dan berbakti untuk memenuhi aspirasi rakyat.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa bersama-sama pimpinan kerajaan Persekutuan dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam sempena lawatan rasmi Kerajaan Negeri Selangor bersama Kerajaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Mohamed.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri Sabah tetap komited untuk terus menyokong kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pendirian ini telah kita tegaskan sekali lagi beberapa minggu yang lalu, bila mana terdengar desas desus wujudnya Langkah Dubai, yang konon hendak menukar kerajaan pusat kepada satu lagi kerajaan yang baharu.

“Bagi kita, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini berfungsi dengan cukup baik dan cukup berkesan, justeru perlu didukung sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat dan kesinambungan pembangunan ekonomi negara.

“Kita juga akan terus bekerja dan berjuang untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, sehingga tempoh pemerintahan kerajaan sekarang berakhir pada September 2025,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, fokus dan tumpuan kerajaan negeri sekarang ini ialah untuk `Merealisasi Aspirasi Rakyat’ sebagaimana yang telah ditegaskan semasa persidangan agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), pada bulan November lepas.

“Tekad dan iltizam kita jelas, iaitu untuk mengutamakan kemajuan dan pembangunan negeri, disamping sentiasa bersama-sama dengan pimpinan Kerajaan Persekutuan dalam berjuang dan membela nasib rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta,” katanya. – Info X