Search

Tingkatkan segera keperluan di KKIA – Hajiji

January 26, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyuarakan keperluan segera untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sempena lawatan kerjanya ke Sabah, semalam.

Hajiji berkata, usaha menambah baik kemudahan yang disediakan di KKIA juga selaras dengan kedudukannya sebagai lapangan terbang kedua tersibuk selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kita mahu perkhidmatan dan fasiliti yang ada di KKIA dinaik taraf dan ditingkatkan segera. Ini sejajar dengan kedudukannya sebagai lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini,” katanya.

Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua DAP Sabah, Datuk Frankie Poon.

Sebelum ini, ada cadangan untuk memindahkan lapangan terbang itu ke lokasi lain sebagai langkah menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa kepada penumpang.

Dua lokasi dicadangkan, bermula dengan Kimanis yang terletak kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negeri sebelum beralih ke Tuaran, kira-kira 40 kilometer di utara ibu negeri.

Setakat ini, kajian kebolehlaksanaan sudah dilakukan di Kimanis, namun belum ada sebarang maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu. – Info X