KOTA KINABALU: AirAsia hari ini mengumumkan penyambungan semula laluan domestik dari Pulau Pinang ke Kuching dan Kota Kinabalu mulai 31 Mac 2024.
Tempat duduk boleh ditempah mulai sekarang dengan tambang sehala bermula RM119 untuk penerbangan dari Kuching ke Pulau Pinang dan serendah RM159 untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Pulau Pinang.
Tempah sekarang sehingga 18 Februari 2024 untuk menikmati tambang promosi bagi perjalanan bermula 31 Mac sehingga 30 November 2024.
Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi airasia Superapp dan laman web airasia.com.
Pelancaran semula laluan ini yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dari hab utama di Kuching dan Kota Kinabalu merupakan pilihan popular dalam kalangan para pelancong dari utara Semenanjung, Sarawak dan Sabah.
Selain Pulau Pinang, para pelancong dari wilayah utara yang lain termasuk Seberang Perai, Kedah, Perlis dan Perak juga boleh menikmati penyambungan semula laluan ini untuk pilihan perjalanan yang lebih mudah dan berbaloi ke Kuching dan Kota Kinabalu serta menerokai keindahan alam semula jadi, kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya di wilayah Borneo Sarawak dan Sabah.

AirAsia juga menghubungkan Kuching dan Kota Kinabalu dengan penerbangan harian secara terus yang menawarkan lebih pilihan kepada para pelancong untuk merancang perjalanan dan percutian ke Sarawak dan Sabah sekaligus.
Dari Kuching, para pelancong dapat menerokai destinasi lain di Sarawak melalui penerbangan harian secara terus ke Sibu, Bintulu dan Miri serta dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau di pantai timur Sabah.
Dengan penyambungan semula laluan ini, Pulau Pinang kini dapat dikunjungi para pelancong dari Sarawak dan Sabah bagi menikmati pelbagai tarikan pelancongan yang ditawarkan termasuklah jejak kulinari, bangunan warisan bersejarah dan keindahan alam semula jadi.
Dalam pada itu, laluan ini juga menyediakan kesalinghubungan dalam memacu sektor pendidikan dan perniagaan.
Dari Pulau Pinang, pelancong dapat menyambung perjalanan mereka melalui jalan raya mahupun perkhidmatan keretapi ke negeri utara yang lain malah sehingga ke Selatan Thailand.
AirAsia juga menawarkan penerbangan secara terus dari Pulau Pinang ke Pulau Langkawi, Bangkok, Kuala Lumpur, Bandaraya Ho Chi Minh serta pelbagai destinasi menarik yang lain.
Ikuti maklumat terkini dan promosi dari AirAsia dengan mengikuti @flyairasia di laman sosial rasmi. – Info X