Search

Penyasaran semula subsidi diesel belum babitkan Sabah, Sarawak

February 2, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini tidak membabitkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata setakat ini penyasaran semula itu hanya membabitkan pengguna di Semenanjung.

Katanya, kerajaan persekutuan bersetuju untuk tidak melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel di Sabah dan Sarawak buat masa ini selepas mengambil kira keperluan tinggi bahan api itu di kedua-dua negeri.

Beliau berkata, bagi Semenanjung, Projek Rintis Skim Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) dilaksanakan mulai semalam untuk menyediakan mekanisme penyasaran semula subsidi diesel.

“Semalam saya telah umum di Semenanjung bahawa kita mulakan SKDS 2.0 pada 1 Februari bagi menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan Sistem Fleet Card syarikat minyak untuk penyasaran semula subsidi diesel yang membabitkan enam syarikat perintis.

“Bagaimanpun, ini hanya membabitkan pengguna di Semenanjung dan tidak di Sabah dan Sarawak seperti diputuskan oleh kerajaan kerana penggunaan diesel yang tinggi di kedua-dua negeri.

“Setakat ini, kerajaan buat keputusan penyasaran semula subsidi diesel yang dijadual bermula pada suku kedua tahun ini tidak membabitkan Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar, bagaimanapun berkata kerajaan kedua-dua negeri bersama semua agensi penguatkuasa perlu memastikan tiada ketirisan diesel bersubsidi menerusi pelaksanaan mekanisme kawalan yang lebih ketat.

Katanya, beliau akan membincangkan perkara itu dengan kerajaan kedua-dua negeri bermula dengan Sarawak pada 9 Februari ini sebelum meneruskan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah pula.

“Sabah dan Sarawak ada tanggungjawab iaitu kita mesti kukuhkan mekanisme penguatkuasaan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi termasuk kerajaan negeri.

“Kita akan bincang untuk memperkemas mekanisme kawalan dan penguatkuasaan supaya unsur aktiviti haram seperti penyeludupan diesel yang berlaku di Sabah dan Sarawak dapat kita kekang sebab tiada gunanya kita beri subsidi tetapi mengalir keluar,” katanya.

Selain itu, Armizan berkata agensi penguatkuasa dan kerajaan di kedua-dua negeri juga perlu membuat persediaan berkaitan segmen masyarakat yang boleh dicadang untuk penyasaran subsidi diesel jika penyasaran semula dilaksanakan di negeri terbabit.

Katanya, ia sebagai tindakan proaktif Sabah dan Sarawak jika kerajaan persekutuan membuat keputusan baharu untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi diesel di kedua-dua negeri pada masa akan datang. – Info X