KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan berkata, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sebaliknya, beliau berkata, sekarang adalah masa untuk memastikan dana daripada Belanjawan Sabah 2024 yang berjumlah RM5.701 bilion sampai terus kepada rakyat.
Katanya, belanjawan yang bertemakan ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ seharusnya dapat dinikmati oleh rakyat demi membela kesejahteraan dan kebajikan hidup mereka.
“Sabah masih lagi dibelenggu dengan isu kemudahan asas yang belum berkesudahan. Apa yang penting, belanjawan yang diumumkan mesti diusahakan untuk menyelesaikan isu ini.
“Selepas lebih 60 tahun merdeka, kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik masih lagi menjadi perbahasan setiap masa dalam kalangan rakyat yang mengharapkan penyelesaian yang tuntas daripada kerajaan.
“Isu jalan raya juga acap kali dibangkitkan dan berlarutan sejak sekian lama. ‘Jalan raya berlubang seperti kolam’ menjadi rungutan rakyat sekali gus membahayakan keselamatan mesti diselesaikan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aliakbar berkata, rakyat kini juga dihimpit dengan isu kenaikan harga barang keperluan dan isu berkenaan perlu mendapat perhatian dan pemantauan yang efektif serta berkesan.
Katanya, saban hari rakyat semakin tersepit dengan kenaikan harga barangan seperti ikan, tepung, gula, minyak masak, susu dan sayuran.
“Sebagai kerajaan yang prihatin dan mengutamakan rakyat, inilah masanya untuk membela nasib rakyat dengan memberikan penyelesaian yang diperlukan.
“Sekali lagi saya mengulangi bahawa ini bukan masanya untuk DUN Sabah dibubarkan. Ini adalah masa untuk terus bekerja demi kesejahteraan rakya,” katanya. – Info X