KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima empat Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 daripada Mk II oleh Gading Marine Industry Sdn Bhd (GMISB) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Simbolik penyerahan berkenaan diterima Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob daripada Pengarah GMISB, Datuk Ir Jamalolail Mohd Yatim dan disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Pertahanan Malaysia, projek perolehan adalah hasil pemeteraian antara TLDM dan syarikat GMISB.
Katanya, semua empat FIC G2000 Mk II Fasa pertama yang berjaya disempurnakan dalam tempoh 16 bulan dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan GMISB di Lumut Port Industrial, Sitiawan, Perak.
“Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 buah FIC secara berperingkat.
“Pada Februari 2021, TLDM sudah menerima sejumlah enam FIC G2000 Mk I yang mana aset ini turut dibina oleh GMISB melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (Op Benteng),” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha KementerianPertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu, dalam kenyataan itu turut berkata, berbanding FIC sebelum ini, FIC G2000 Mk II unik kerana ia turut dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano.
Katanya, ia membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.
“FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot.
“Selain itu, susun atur dalaman FIC G2000 Mk II ini juga ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.
“Aset-aset ini terbukti efektif digunakan dalam membendung dan menyekat kegiatanjenayah rentas sempadan meliputi pengekangan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, pelanunan dan rompakan laut.
“Ia turut digunakan dalam usaha mengekang pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat FIC G2000 Mk II yang diterima ini akan ditempatkan di MarkasWilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan.
Katanya, ia bagi memperkasakan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM. – Info X