Search

Terjun sungai tinggalkan kayu bergergaji, pokok kayu bakau tanpa premit

February 3, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Tekong bersama beberapa awak-awak bertindak nekad terjun daripada bot dinaiki bagi mengelak dicekup pihak berkuasa selepas disyaki membawa kayu bergergaji dan pokok kayu bakau tanpa permit.

Tindakan semua suspek terbabit selepas menyedari kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan Hutan Simpan Selatan Pulau Timbun Mata dan Timur Laut Tanjung Tabu-Tabu, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, dua bot peronda APMM yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur mengesan enam buah bot yang mencurigakan di pesisir pulau berkenaan.

Katanya, ketika dihampiri untuk pemeriksaan lanjut, tekong bersama awak-awak nekad bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan terdekat.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua bot mendapati kira-kira 40 batang kayu bergergaji dan 60 batang pokok kayu bakau yang siap dipotong ditinggalkan di dalam bot terbabit.

“Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM30,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bot muatan kayu bergergaji dan pokok kayu bakau tanpa permit ditahan APMM di perairan Semporna. – Foto/APMM

Menurutnya, kes diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah daerah Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Perhutanan Sabah 1968 iaitu melakukan kesalahan membawa hasil hutan tanpa permit yang sah.

“Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah,” katanya. – Info X