LAHAD DATU: Dua kanak-kanak yang mandi di sungai Kampung Tabanak, di sini, meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa Mohammad Juiqram Julmasalleh, 11, ditemui oleh ahli keluarganya, jam 11.32 pagi tadi.
Manakala Nur Naufal Iqbal Mohammed Nizam, 11, disahkan meninggal dunia kira-kira 4 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.39 petang, semalam.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama tiga jentera termasuk bot penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi turut dibantu oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu.
“Sebaik tiba, pasukan bomba dimaklumkan terdapat dua orang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas melakukan aktiviti mandi di sungai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seorang daripada kanak-kanak terbabit ditemukan masih bernyawa pada hari kejadian, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu kira-kira jam 4 pagi tadi.

“Seorang lagi mangsa Mohammad Juiqram ditemui jam 11.30 pagi kira-kira 30 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Mangsa ditemui oleh abang kandungnya dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 12 tengah hari,” katanya. – Info X