TAWAU: Pelbagai barangan runcit yang cuba diseludup masuk dari negara jiran dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 0.1 batu nautika timur Kuala Sungai Tawau, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, semua barangan berkenaan disembunyikan di dalam bot karga yang dikendalikan seorang juragan warga tempatan berusia 35 tahun.
Pengarah APMM Zon Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, hasil dari maklumat risikan, bot kargo berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan dari sempadan perairan negara menuju ke arah muara Sungai Tawau.
“Bot peronda yang sedang melaksanakan Ops Tiris sekitar perairan Tawau bertindak menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati bot kargo itu dikendalikan seorang juragan dan penggeledahan ke atas bot itu menemukan pelbagai barangan yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Antaranya, lapan kotak gula merah, empat guni beras, empat guni lada putih, dua guni kacang gajus, 720 peket perasa makanan, 312 pek keju, 12 guni beras pulut dan empat guni biji gandum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua jenis barangan serta jenama itu dipercayai berasal dari Indonesia dan juragan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau permit yang sah berkaitan muatan yang dibawa.
“Suspek ditahan bersama bot dan muatan seterusnya diiring ke Jeti Maritim Tawau untui siasatan lanjut.
“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM58,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.
Sementara itu, katanya penguatkuasaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususnya di perairan daerah ini.
“APMM memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang situasi,” katanya. – Info X