KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan enam pelancong asing yang terperangkap dalam bangunan selepas sebuah bilik penginapan ‘backpacker’ terbakar di Jalan Haji Yaakub, Kampung Air di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, semua mereka dari negara Switzerland, Slovakia, Rusia, United States America, Francis dan Jepun terperangkap di balkoni luar bangunan tingkat tiga berkenaan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 8.49 pagi dan 35 anggota termasuk pegawai bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejar ke lokasi berkenaan.
Katanya, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas.

“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, kebakaran membabitkan sebuah bilik penginapan di tingkat tiga yang terbakar sepenuhnya.
“Lima bilik lagi terjejas akibat terkena bahang api dan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari sumber air jentera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, terdapat enam pelancong asing di balkoni luar bangunan tingkat tiga berjaya diselamatkan.
“Pasukan bomba berjaya membawa turun enam pelancong asing yang terperangkap di balkoni luar bangunan berkenaan menggunakan peralatan tangga lacon ladder.
“Semua mangsa berusia 22 hingga 28 tahun selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya lagi, operasi terkawal pada jam 9.10 pagi dan operasi ditamatkan sejam kemudian. – Info X