Search

Cegah kebakaran, utamakan keselamatan sepanjang musim perayaan – JBPM Sabah

February 8, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Orang ramai perlu sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini sepanjang musim perayaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, Abdul Razak Muda berkata, jangan mengambil mudah aspek keselamatan dan pencegahan kebakaran terutamanya dalam kediaman masing-masing.

“Berdasarkan statistik JBPM Sabah sepanjang 2023, sebanyak 2,490 jumlah panggilan kebakaran direkodkan berbanding hanya 1,462 pada 2022 dengan peningkatan sebanyak 70 peratus dan taksiran jumlah kerugian sebanyak RM496,475,120.69.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 431 kes panggilan adalah kebakaran membabitkan bangunan berlaku sepanjang 2023.

“Sepanjang tempoh Ops Tahun Baharu Cina 2023, sebanyak 22 kes kebakaran direkodkan membabitkan bangunan,” katanya ketika sidang media Sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun Baharu Cina, di sini, hari ini.

Abdul Razak Muda (empat dari kiri) ketika merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun Baharu Cina di Penampang.

Beliau berkata, disebabkan berlaku peningkatan ketara dalam kes membabitkan premis, JBPM juga menumpukan kepada keselamatan dan pencegahan kebakaran melalui pemeriksaan dan aktiviti menghapus bahaya kebakaran (MBK) terhadap premis berisiko yang dikenal pasti.

Katanya, JBPM Sabah sudah merangka strategi komprehensif dengan penguatkuasaan yang lebih terancang bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran premis yang berisiko dan menjadi tumpuan orang ramai sewaktu musim perayaan.

“Sebelum ini hanya pusat membeli belah diberi penekanan, namun kali ini tumpuan pemeriksaan turut membabitkan pusat peranginan serta inap desa atau homestay.

“Peningkatan penggunaan bahan api akan berlaku di musim perayaan ini, dan ada juga rumah yang ditinggalkan kerana penghuni bercuti di tepat lain.

“Dalam keadaan ini, pemilik rumah perlu memastikan kediaman berada dalam keadaan selamat dan pastikan tiada punca yang boleh mencetuskan kebakaran sebelum meninggalkan rumah,” katanya.

Abdul Razak Muda (tiga dari kiri) ketika sidang media sempena Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Tahun Baharu Cina, di Penampang.

Tambahnya, kebakaran yang dikenal pasti banyak berlaku pada waktu malam membabitkan bukan sahaja pendawaian di kawasan rumah setinggan dan perumahan atas air tetapi juga kegiatan bermain mercun yang semakin berleluasa.

Katanya, terdapat 491 bangunan di negeri ini dikategorikan sebagai Premis Ditetapkan iaitu yang dikenal pasti berisiko tinggi dan sepatutnya mempunyi perakuan bombo (fire certificate (FC)).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 284 bangunan memiliki Sijil Perakuan Bomba, manakala sebanyak 207 bangunan sedang dalam tempoh pematuhan notis.

“JBPM memandang serius keselamatan sesuatu bangunan dan pada tahun lalu, JBPM berjaya melaksanakan Perintah Tutup membabitkan Sekyen 13, Akta 341 kepada satu premis di Lahad Datu manakala tujuh premis lain didenda di mahkamah kerana gagal mematuhi keperluan dan kehendak Jabatan berdasarkan peruntukkan Akta 341, 1988.

“Berdasarkan data ini, JBPM akan terus melaksanakan dan meningkatkan penguatkuasaan dengan membuat pemerikaan serta memastikan pematuhan kehendak kebombaan kepada setiap premis untuk memastikan pembangunan infrastruktur yang pesat di negeri ini terjamin dari aspek keselamatan bangunan seterusnya terlindung daripada risiko kemusnahan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, 80 peratus daripada keseluruhan 1,082 pegawai bomba dan 1,400 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) seluruh Sabah akan bertugas sepanjang Op Selamat Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Semua pegawai akan ditempatkan di keseluruhan 25 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini dan laluan utama yang sering berlaku kemalangan bagi menangani kes kebakaran dan kemalangan jalan raya yang dijangka akan meningkat sepanjang tempoh perayaan.

“Pegawai bertugas juga akan bersama-sama menangani kes kebakaran di kawasan tanah gambut serta hutan yang meningkat sejak awal tahun ini,” katanya. – Info X