KOTA KINABALU: Tindakan pantas jiran memadam api berjaya menyelamatkan sebuah rumah dan merebak ke rumah bersebelahan di Apartment Taman Putramas Hill Telipok, di sini, pagi tadi.
Ekoran kejadian itu, kebakaran hanya membabitkan ruang dapur yang terbakar 30 peratus dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Jiran, Jumadi Muslimin, 30, berkata, ketika kejadian dia sedang sarapan di rumahnya yang terletak di blok bersebelahan.
Katanya, masa itu, dia terdengar jeritan kanak-kanak mengatakan berlaku kebakaran lalu melihat rumah jiran di tingkat dua terbakar. Bimbang api akan merebak, dia terus berlari ke tempat kebakaran.
“Masa itu asap tebal, saya kemudian meminta tolong jiran-jiran lain untuk mendapatkan alat pemadam api. Beberapa jiran kemudian membantu mencari sebelum menemui alat pemadam api.
“Ketika itu, asap tebal di ruang tamu rumah lalu saya bertindak masuk memadam api kerana bimbang api makin marak. Tetapi alat pemadam api telah kehabisan.
“Saya keluar semula dan mengambil satu lagi alat pemadam api sebelum masuk semula dan memadam api,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, dia tidak panik ketika berhadapan situasi itu kerana beberapa kali membantu memadam kebakaran di kampung halamannya di Tawau.
“Alhamdulillah, api berjaya dipadam dan semua penghuni di rumah berkenaan selamat.
“Terima kasih juga kepada penduduk yang membantu menghulurkan bantuan alat pemadam api, jika tidak, sukar untuk mengawal api itu,” katanya.
Sementara, pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Pegawai Bomba Kanan I, Laupen Nuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.14 pagi.
Katanya, seramai 11 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah apartment di tingkat dua dan terbakar di bahagian dapur 30 peratus.
“Api berjaya dipadam oleh orang awam menggunakan alat pemadam api sebelum jentera tiba di lokasi,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.
“Operasi terkawal pada jam 11.38 pagi dan operasi tamat 30 minit kemudian,” katanya. – Info X