Search

JSJ Sabah gempur tiga pusat hiburan di Kota Kinabalu, Penampang

February 21, 2024

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis menyerbu tiga premis pusat hiburan di daerah ini dan Penampang selepas didapati menjalankan operasi tanpa lesen sah serta beroperasi melebihi masa yang ditetapkan, semalam dan awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, polis turut menahan keseluruhan sembilan individu serta merampas pelbagai peralatan di dalam premis yang diserbu.

Katanya, serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan sepasukan pegawai dari Cawangan Siasatan Jenayah (D7) dan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Pasukan serbuan menjalankan pemeriksaan ke atas pengunjung di pusat hiburan di Inanam, Kota Kinabalu.

“Bertindak dengan maklumat risikan, serbuan terhadap sebuah premis hiburan di Pusat Dagangan Donggongon, Penampang pada jam 1.30 pagi mendapati premis terbabit masih beroperasi dan terdapat 15 pelanggan termasuk empat wanita sedang berhibur di dalam premis berkenaan.

“Siasatan mendapati, premis berkenaan menjalankan operasi hiburan awam melebihi masa dan polis menahan dua pekerja serta tiga pelanggan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Turut dirampas beberapa barangan termasuk mixer, alat pembesar suara, mikrofon serta lesen perniagaan dan resit jualan minuman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Peralatan muzik di pusat hiburan berkenaan turut dirampas.

Azmi berkata, serbuan sebuah lagi premis di kawasan sama pada jam 4.36 pagi turut mengesan kegiatan beroperasi tanpa lesen sah.

Katanya, DJ dan juruwang warga tempatan ditahan bersama rampasan beberapa peralatan yang digunakan untuk menjalankan operasi hiburan di premis terbabit.

“Dalam satu lagi siri serbuan di KK Taipan Inanam, sebuah premis hiburan juga didapati beroperasi lebih masa pada jam 2.30 pagi dan dua pekerja turut ditahan bersama beberapa barangan didalam premis berkenaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada kegiatan penyalahgunaan dadah dikesan dalam kesemua premis yang diserbu berikutan hasil ujian urin terhadap 24 pekerja dan 64 pelanggan menunjukkan keputusan negatif.

“Semua suspek ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 dan 4 Ordinan Hiburan Awam 1958,” katanya. – Info X