KOTA KINABALU: Lepas pecah rumah, sewa hotel elak dikesan pihak berkuasa. Itu modus operandi seorang lelaki yang aktif melakukan pecah rumah di daerah ini.
Bagaimanapun taktik suspek dikenali sebagai ‘Akut’ itu dikesan polis sebelum diberkas di lobi sebuah hotel di Jalan Delima, Sadong Jaya, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, suspek berusia 38 tahun diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 8.10 malam.
Katanya, tangkapan berkenaan hasil operasi dan maklumat berterusan bahagian risikan/operasi JSJ Sabah dalam usaha membanteras penjenayah pecah rumah di negeri ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati banyak barangan ditemui dalam beg galas dan dalam kereta sewa dipercayai barangan curi.
“Antaranya kamera, kasut, satu unit penggera kereta, topeng dan peralatan disyaki untuk pecah rumah. Turut dirampas pakaian serta kasut iaitu barangan yang dicuri di Inanam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmi berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku bahawa dia bersama tiga lagi rakan sejenayah yang masih bebas telah memecah masuk rumah dan mencuri barang-barang dalam rumah.
“Suspek juga mengaku menjual beberapa barang yang dicuri kepada pembeli.
“Suspek dan barang rampasan seterusnya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan tiga lagi suspek yang terbabit kes pecah rumah di bandar raya ini.
“Polis percaya suspek ini adalah ahli geng pecah rumah yang terbabit beberapa kes dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah,” katanya.
Kelmarin, tiga lelaki dikenali sebagai Geng Raqib yang aktif melakukan pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini diberkas polis JSJ D9 IPK Sabah.
Semua suspek termasuk ketua kumpulan berkenaan diberkas dalam dua serbuan berasingan di Beaufort dan Kota Kinabalu. – Info X