Search

Lelaki ditahan beli motosikal curi daripada rakan

February 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki memiliki motosikal curi jenis Modenas yang dibeli daripada rakannya membawa padah apabila dia ditahan polis di hadapan restoran makanan laut di Kampung Terayung, Pantai Dalit, di sini, kelmarin.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kira-kira jam 7 malam.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, berdasarkan semakan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Jalan Segama dan suspek memberitahu membeli motosikal berkenaan daripada rakannya di Tuaran.

“Ekoran daripada itu, pada hari yang sama pasukan polis membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Bolong Baru. Tuaran.

“Hasil pemeriksaan menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang menjual motosikal curi itu kepada suspek pertama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dan motosikal dibawa ke pejabat D4 JSJ IPK Sabah untuk tindakan lanjut.

“Semakan jenayah lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkait kesalahan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya. – Info X