Search

PPM rampas minyak masak disembunyikan dalam rumah sewa

February 23, 2024

Info X Reporters

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat berjaya menumpaskan kegiatan seorang lelaki yang menyorok 782 peket minyak masak bersubsidi di sebuah rumah sewa di Tanah Merah, Jalan Batu Sapi, di sini, semalam.

Rampasan ini dijalankan Markas Operasi (MO) PPM Sandakan, jam 11.20 malam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pihaknya mengesan dan mengekori sebuah van jenis Vanette yang mencurigakan.

“Selepas mengekori van berkenaan hingga ke sebuah rumah beralamat di Tanah Merah, van itu berhenti.

“Pemandu van yang menyedari kehadiran pasukan operasi ketika berada di kawasan rumah bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam sebuah rumah yang tidak berkunci menemui 46 beg plastik hitam.

Minyak masak bersubsidi yang ditemui di rumah sewa di Tanah Merah, Jalan Batu Sapi, Sandakan. – Foto/PPM

“Hasil pemeriksaan mendapati setiap beg plastik hitam itu berisi 17 peket minyak masak yang disimpan ditingkat bawah rumah sewa berkenaan.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk van berjumlah RM16,955,” katanya.

Tambahnya, semua rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Rampasan akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X