BEAUFORT: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lumat, di sini, petang tadi.
Mangsa Jeliha Echek, 46, yang memandu Perodua Kembara disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.03 petang.

Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan 10 anggota bomba dihantar ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Perodua Kembara.
“Pemandu Perodua Kembara tersepit dan berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Menurutnya, empat mangsa termasuk dua kanak-kanak yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hanya cedera ringan.

“Semua mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Beaufort menaiki kenderaan awam.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan pada 7.38 malam,” katanya. – Info X