SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna berjaya menahan enam individu selepas dikesan masuk ke negara ini secara haram, di perairan Tanjung Pantau-Pantau, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 8.37 pagi itu, anggota PPM yang menjalankan tugas pemantauan di perairan berkenaan mengesan pergerakan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, pasukan operasi segera memintas dan menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat enam lelaki termasuk seorang juragan berada di dalam bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut pula, mendapati juragan dan empat penumpangnya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala seorang memiliki dokumen pemastautin tetap.
“Semua tangkapan mengaku dari Bongao Filipina dan penumpang pula dikenakan bayaran sebanyak 4,500 Peso (RM380) seorang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua tangkapan serta barang rampasan termasuk bot, enjin dan wang tunai asing 21,000 peso yang dianggarkan bernilai RM18,242 itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Atipsom 2007,” katanya. – Info X