Search

Masalah air kritikal di Kiulu, kira-kira 200 isi rumah terjejas

February 27, 2024

Info X Reporters

KIULU: Sebanyak kira-kira 200 isi rumah di tujuh buah kampung, di sini, terjejas berikutan masalah air yang kritikal.

Kampung-kampung yang dikenalpasti terjejas akibat kekurangan bekalan air adalah Bungoliu, Tomis Baru, Kelawat, Simpangan Lama, Balabakan, Tomis Mangi Pangi dan Bongol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, sehari suntuk melawat kampung-kampung berkenaan, hari ini, bagi meninjau keadaan semasa.

Dalam lawatan turun padang itu, beliau bertemu dengan penduduk kampung bagi mendengar pandangan mereka serta membincangkan langkah-langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang yang perlu diambil.

“Saya memandang serius keadaan gangguan air berlarutan yang telah mendatangkan kebimbangan di kalangan penduduk kampung.

“Antara cadangan penyelesaian sementara yang telah dikenalpasti ialah menyediakan tangki-tangki air untuk menyimpan stok air di setiap kampung yang terjejas.

“Manakala untuk jangka masa panjang, cadangan adalah untuk menggunakan pam air dari sumber air yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut menekankan Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) telah menghantar laporan mengenai keadaan tersebut kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Tuaran melalui Pejabat Daerah Kecil Kiulu.

“Tindakan segera diperlukanuntuk menangani masalah air yang semakin meruncing ini,” katanya.

Joniston juga meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat untuk memberikan laporan mengenai cadangan penyelesaian sementara bagi mengatasi masalah air di kampung masing-masing.

“Langkah-langkah ini diharapkan dapat memberikan bantuan yang diperlukan kepada penduduk kampung yang terjejas.

“Kami akan terus memantau perkembangan mengenai usaha-usaha penyelesaian masalah air ini dan memberikan maklumat terkini kepada penduduk kampung,” katanya lagi. – Info X