KOTA KINABALU: Sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, semalam.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu dilaporkan berlaku dihadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara kira-kira jam 5.30 petang.
Pergaduhan membabitkan pekerja kilang itu dipercayai berpunca daripada seorang pekerja China yang didakwa melanggar bahu seorang lagi pekerja tempatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan laporan polis dan siasatan yang dijalankan, semua suspek berjaya ditahan pada jam 3.30 pagi.
Katanya, tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan dan lima warga asing untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar menggunakan cap jari selepas tamat masa bekerja.
“Salah seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan namun ia tidak langsung diendahkan dan berlaku pertengkaran sebelum tercetus pergaduhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, kejadian menyebabkan pergelutan sebelum keadaan bertukar menjadi huru hara apabila ia disertai lebih ramai individu daripada kedua-dua belah pihak.
“Pergaduhan berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta para pekerja kilang lain.
Setakat ini tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan membabitkan kedua-dua pihak,” katanya. – Info X