KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan sebuah ‘parti lalat’ meskipun berdepan cabaran besar untuk terus kekal relevan.
Presiden PBS itu sebaliknya menyifatkan ‘parti lalat’ sesuai dilabelkan terhadap parti yang baru timbul, khususnya apabila menjelang pilihan raya.
Jelasnya, ia berbeza dengan PBS yang sudah bertapak selama 39 tahun, namun masih meneruskan perjuangan untuk rakyat Sabah sejak diasaskan pada 1985.
Beliau bagaimanapun mengakui cabaran terbesar dihadapi PBS ialah untuk mengekalkan dirinya sebagai parti yang terus relevan dengan situasi politik semasa.
“Cabaran terbesar kita ialah untuk memastikan PBS kekal relevan. Banyak parti baharu timbul seperti cendawan selepas hujan, apalagi bila musim pilihan raya tiba.
“Mereka timbul untuk mencuba nasib dan ada sebahagian yang ditubuhkan untuk mengacau undi. Parti lalat seperti ini tidak seharusnya diberikan peluang untuk memperjudikan sokongan rakyat.
“PBS bukan parti lalat. PBS bertapak di Sabah selama 39 tahun dan kita telah mengharungi onak politik selama hampir empat dekad menjadikan kita parti politik yang matang,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-39 PBS, di sini, malam tadi.
Ucapannya disampaikan Timbalan Presiden PBS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Dr Joachim berkata Maximus masih menghadapi masalah pertuturan dan mengamanah beliau untuk menyampaikan ucapannya.
Maximus sebelum ini pernah diserang angin ahmar menyebabkan pertuturannya terjejas, namun keadaan kesihatannya dilaporkan semakin baik dan masih mampu mengetuai PBS.
Bekas Ahli Parlimen Kota Marudu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) itu turut hadir pada majlis itu bersama Penasihat Perdana yang juga pengasas PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, selain dua lagi Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Dr Yee Moh Chai.
Maximus turut mengakui kedudukan PBS ketika ini yang hanya mempunyai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen sebagai satu realiti yang perlu diperbaiki.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai sebuah parti politik yang matang, PBS mampu terus melakar masa depan yang baik dengan bantuan pengalaman, kecekalan dan integriti pemimpin serta ahlinya.
“Laluan ke hadapan kita ialah untuk memperkasakan lagi parti keramat kita ini dan golongan pemimpin muda PBS yang bakal mengambil alih tampuk kepemimpinan parti,” katanya. – Info X