KOTA KINABALU: Seorang lelaki menempuh detik cemas apabila nyaris dibelit ular sawa batik yang disangka kayu ‘menumpang’ jengkaut dijaganya di Kampung Sinulihan, Jalan Kionsom, Inanam, malam tadi.
Lelaki itu dikatakan terkejut dengan kehadiran reptilia sepanjang tiga meter itu ketika menjalankan pemeriksaan jengkaut di kawasan berkenaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan melalui MER999 pada jam 8.53 malam.
“Sebaik tiba di lokasi jam 9.11 malam, anggota mendapati ular sawa itu berada di bahagian track chain jentera jengkaut.
“Empat anggota berjaya menangkap ular sepanjang tiga meter itu menggunakan peralatan khas selama sejam disebabkan ular itu berada di tempat yang sempit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, reptilia seberat 18 kilogram itu akan dilepaskan ke habitat asalnya jauh dari kawasan kediaman penduduk. – Info X