Search

Awas ‘katak’ pandai menyelam – PBS

March 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tetap berwaspada terhadap amalan lompat parti atau ‘katak’ walaupun sudah ada Akta Anti Lompat Parti termasuk di peringkat negeri.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ia kerana sifat katak yang bukan saja pandai melompat, malah mampu menyelam.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian agar amalan ‘melompat’ yang dikaitkan dengan wakil rakyat bertukar parti tidak beralih kepada amalan ‘menyelam’ bagi melakukan perkara yang sama.

“Ramai ingin membunuh katak yang melompat tetapi kita harus semat dalam minda, katak bukan sahaja kuat melompat, tetapi ia juga mampu menyelam.

“Oleh itu, kita perlu ‘think outside the box’ untuk menangani masalah ini sebelum ia berlaku,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-39 PBS yang disampaikan timbalannya, Datuk Dr Joachim Gunsalam, di sini, malam tadi.

Maximus berkata tidak dinafikan kelulusan undang-undang Anti Lompat Parti di Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu membantutkan keinginan ahli politik untuk melompat ke parti yang menjanjikan ‘gula-gula’ yang lebih manis.

“Namun, si katak mungkin akan menjadi lebih kreatif untuk berhijrah ke parti lain, kerana budaya lompat parti ini seakan sangat sinonim dengan negeri Sabah. Antara semua negeri, kita mungkin mempunyai bilangan ‘katak’ yang paling ramai,” katanya.

Sementara itu, Maximus menyifatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai PBS bersama enam parti tempatan lain kini semakin kukuh dan menjadi gabungan yang terbaik untuk memerintah negeri ini.

“Saya yakin dan percaya kerajaan GRS adalah pilihan terbaik untuk memimpin rakyat dan memartabatkan lagi perjuangan politik kita,” katanya.

Katanya, selepas pilihan raya lalu, Sabah berdepan perkembangan politik Sabah yang sangat aktif.

“Drama yang dibintangi pemimpin UMNO, keputusan beberapa pemimpin untuk meninggalkan bahtera Warisan, dan juga penubuhan parti tempatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), selari dengan permintaan rakyat Sabah untuk menjadikan GRS sebagai satu gabungan semua parti tempatan.

“My take on all these is that’, apa pun yang berlaku, ‘it is at the advantage of GRS,” katanya. – Info X