KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Dr Jeffery Kitingan mengingatkan Kerajaan Pusat supaya tidak memberi alasan tiada duit untuk menunaikan tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip di Sabah.
Beliau menegaskan alasan itu tidak wajar memandangkan hasil yang dikutip Kerajaan Pusat di negeri ini sudah berlarutan sejak setengah abad lalu.
“Jangan bagi alasan Kerajaan Pusat tiada duit – Di mana perginya duit Sabah 40 peratus yang telah diambil selama 50 tahun?,” katanya ketika membahaskan Titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata Kerajaan Pusat perlu melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan sepenuhnya dan dengan serta-merta.
Katanya, ia termasuk hak dan keistimewaan Sabah Sarawak, janji dan syor yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Hak Hasil Bersih 40 peratus mesti dibayar dengan serta-merta bukan mengumpan dengan RM300 juta sahaja bersama hak kewangan lain seperti duti dan cukai eksais seperti 10 peratus duti ekspot minyak.
“Selain itu, sumber asli seperti minyak dan gas juga mesti dikembalikan kepada Kerajaan Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu,” katanya.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata langkah itu bukan saja membantu melonjakkan ekonomi Sabah, Sarawak dan negeri pengeluar minyak dan meningkatkan sosio ekonomi rakyat.
Jelasnya, ia juga akan meredakan kemarahan, kekecewaan dan pergerakan perpisahan Malaysia.
Beliau menambah, Sabah memerlukan pembangunan berbillion ringgit bagi mengatasi ketidakcukupan air bersih dan elektrik, jalan berlubang dan infrastruktur asas lain yang diperlukan rakyatnya.
“Ubah asas pemberian peruntukan pembangunan. Sabah adalah satu daripada tiga wilayah yang menubuhkan Persekutuan Malaysia, bukan satu daripada 14 negeri,” katanya.
Selain itu, Jeffrey turut mengulangi permintaan Sabah dan Sarawak agar kuota 35 peratus Kerusi Parlimen untuk kedua-dua wilayah itu dikembalikan untuk melindungi hak Sabah dan Sarawak dalam perlembagaan.
Katanya, Sabah dan Sarawak bersetuju bergabung membentuk Malaysia atas dasar hak mereka dilindungi seperti yang diputuskan usul Dewan Perundangan masing-masing pada 1962.
“Hormati hak francais politik Sabah dan Sarawak. Kerajaan Sabah dan Sarawak haruslah diperintah oleh parti politik tempatan dan bukan dari luar,” katanya. – Info X