SANDAKAN: Tindakan seorang pemandu lori cuba menyelewengkan minyak bersubsidi gagal selepas berjaya dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan ketika mengisi minyak petrol jenis Ron 95 ke dalam dram di sebuah stesen minyak di Batu 1.5, Jalan Utara Sandakan.
Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, semua minyak petrol berkenaan dimasukkan ke dalam dram yang diletakkan di bahagian belakang lori suspek.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah bagi tujuan pengisian minyak berkenaan.
“Suspek terus ditahan dan semua barangan bersubsidi berkenaan dirampas kerana disyaki untuk tujuan diselewengkan.
“Suspek dan barang rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi Pangkalan Polis Marin Sandakan Untuk Tindakan Selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Nasir berkata, antara yang dirampas adalah enam dram berisi minyak petrol, tujuh dram kosong, enam tong gas jenama Petronas dan enam resit pembelian dan lori yang digunakan suspek.
Katanya, nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM85,660 dan siasatan lanjut akan dijalankan sebelum dirujuk kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.
“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X