Search

2 cedera kebakaran 6 rumah di Manggatal

March 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua cedera dalam kebakaran enam rumah atas air di Kampung Saga 1, Manggatal, di sini, hari ini.

Kedua-dua mangsa lelaki masing-masing berusia lingkungan 40 tahun cedera di muka dan tangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.34 pagi.

Katanya, dua jentera, satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan Lintas digerakkan ke lokasi kejadian.

“Tiada laluan masuk ke lokasi dan pasukan bomba berjalan kira-kira satu kilometer ke lokasi kejadian.

“Dalam kebakaran itu, empat rumah musnah sepenuhnya manakala dua rumah terbakar 10 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman menggunakan air terbuka iaitu air paip berhampiran.

Enam rumah atas air di Kampung Saga 1, Manggatal, terbakar. – Foto/Bomba

“Terdapat dua mangsa dilaporkan cedera, satu mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam manakala seorang lagi dirawat di lokasi kejadian.

“Operasi terkawal pada jam 11.15 pagi,” katanya.

Katanya lagi, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah hari.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X