Search

JBPM siap siaga hadapi fenomena El Nino

March 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa bersiap siaga menghadapi fenomena El Nino.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi, Sabah turut menghadapi cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga akhir Mac ini.

Katanya, JBPM sentiasa bersiap siaga menghadapi fenomena seumpama itu yang juga sebahagian daripada tugas jabatan.

“Saya telah mengarahkan semua daerah untuk bersiap sedia terutama dari segi logistik, kewangan dan peralatan.

“Dari segi tenaga kerja, saya menyerahkan kepada budi bicara setiap pengarah Bomba negeri untuk memutuskan bila, di mana dan mengapa mereka memerlukan tenaga kerja tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Anggota Bomba Komuniti, Aktiviti Keselamatan Air dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Turut hadir pada program itu ialah Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Makhzan Mahyuddin, Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Sabah, Datuk Noor Alam Khan A Wahid Khan.

Datuk Nor Hisham Mohammad merasmikan program Kempen Keselamatan Kebakaran Bersama Anggota Bomba Komuniti, Aktiviti Keselamatan Air dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di Stadium Likas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dan menyelaras dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Air Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, Nor Hisham berkata beliau juga telah mengarahkan semua Bomba negeri untuk bekerjasama dengan pengusaha ladang kelapa sawit dalam mengekalkan paras air mereka yang diperlukan oleh Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), dan Pensijilan Minyak Sawit Lestari (RSPO).

“Ini bagi memastikan jika kita dapat mengekalkan paras air dalam saliran dan parit terutamanya di dalam hutan atau kawasan lapang, ia dapat mengelak api daripada terus merebak sekiranya berlaku kebakaran terbuka atau kebakaran belukar.

“Ini boleh dicapai jika semua pihak termasuk pengusaha ladang kelapa sawit, dapat mengawal empangan pemeriksaan air mereka di dalam kawasan mereka,” katanya. – Info X