KOTA KINABALU: Tiga lelaki yang terbabit dalam kes jenayah samun seorang wanita di tepi Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan, di sini, 7 Mac lalu berjaya ditahan polis, semalam.
Ketiga-tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Pulutan dan Kampung Darau.
Operasi serbuan dijalankan sepasukan pegawai serta anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Ketua JSJ IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, semua suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.

Katanya, pembabitan suspek turut disahkan menerusi pengecaman gambar oleh mangsa wanita berusia 37 tahun.
“Hasil penahanan ketiga-tiga suspek, polis berjaya merampas sebuah kereta Proton Wira, Aeroback, beg sandang jenama Michael Kors, sebentuk anting-anting serta beberapa barangan lain.
“Turut dirampas pelbagai peralatan termasuk pencungkil tayar, pemutar skru, spanar dan tukul besi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azmi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Kejayaan memberkas tiga penjenayah samun ini hasil kerjasama yang mampan antara D9 diperingkat kontinjen bersama Bahagian Risikan/Operasi JSJ Daerah Kota Kinabalu,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian 7 Mac lalu, mangsa mengalami kerugian RM5,000 apabila disamun tiga lelaki ketika berehat di tepi Jalan Tuaran Bypass selepas perjalanan jauh dari Sipitang.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa turut mengalami kecederaan di kedua lengan selepas bergelut dengan ketiga-tiga suspek terlibat.
Akibat kejadian berkenaan, suspek mengalami kerugian hampir RM5,000 selepas rantai leher dan beg tangan miliknya yang berisi kad pengenalan, kad kredit, kunci kenderaan dan wang tunai dilarikan. – Info X