SEMPORNA: Treler disyaki hilang kawalan lalu ‘makan jalan’ sebelum memasuki laluan bertentangan dipercayai punca dua pelancong asing maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang yang membabitkan tiga kenderaan iaitu treler, van pelancong dengan sebuah lori box.
“Pelanggaran berlaku disebabkan oleh treler yang hilang kawalan telah makan jalan dan masuk ke lorong bertentangan jalan sebelah kanan.
“Seterusnya berlanggar dengan van pelancong dari arah depan dengan muatan penumpang seramai lima warga Singapura, satu warga Vietnam berusia lingkungan 11 hingga 71 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, serpihan kemalangan terbang ke cermin hadapan lori box yang berada di belakang treler mengakibat cermin hadapan lori box pecah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Farhan berkata, pemandu treler dan lori box tidak mengalami kecederaan.
“Dua penumpang van warga Singapura dan Vietnam berusia lingkungan 40 dan 60 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Empat lagi penumpang van pelancong warga Singapura parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kepada sesiapa yang ad sebarang maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Semporna Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan,” katanya.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar berkenaan kemalangan van pelancong dengan treler hinga dua maut manakala lima parah. – Info X