KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah memandang serius kemalangan jalan raya membabitkan pelancong hingga menyebabkan kematian yang berlaku di negeri ini.
Menterinya, Datuk Christina Liew, berkata kemalangan terbaru yang menyebabkan kematian dua pelancong asing di Jalan Tawau – Semporna semalam perlu diberikan perhatian bagi menjaga imej sektor pelancongan Sabah.
Katanya, beliau akan membincangkan kaedah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dengan pihak yang berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa depan.
“Saya akan bincang dengan Pengerusi Sri Pelancongan Sabah, Ken Pan Ying On yang bertanggungjawab membangunkan pelancongan di Tawau dan Semporna mengenai penambahbaikan keselamatan jalan raya.
“Ini khususnya di laluan berisiko berlaku kemalangan di Jalan Tawau – Semporna berikutan kemalangan terbaharu membabitkan kematian pelancong semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang semalam, sebuah van pelancong yang dinaiki lima warga Singapura dan seorang warga Vietnam bertembung dengan sebuah treler di Kilometeri 21 Jalan Semporna – Tawau.
Akibat kemalangan itu, pelancong warga Vietnam dan seorang pelancong warga Singapura maut di lokasi kejadian, manakala empat lagi pelancong warga Singapura dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan.
Berdasarkan siasatan awal pihak polis, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada treler yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan van pelancong.
Christina yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berkata, pihaknya menunggu laporan siasatan kemalangan itu bagi mengetahui punca kejadian sebelum langkah menanganinya diambil. – Info X