Search

Kereta rempuh 3 kenderaan serta garaj, pemandu selamat

March 15, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Seorang pemandu harungi detik cemas selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh garaj dan tiga kenderaan di Institut Pengajian Islam Sikuati, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pemandu lelaki berusia 20 tahun terbabit bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 malam.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Viva yang terbabas sendiri sebelum melanggar garaj dan tiga kenderaan yang diletakkan di bawah garaj berkenaan.

“Pemandu kereta dilaporkan keluar sendiri daripada kenderaannya sebelum ketibaan jentera dan hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kemalangan. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulanas untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah malam. – Info X