BEAUFORT: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di hutan di Kampung Binunuk, di sini, semalam ditemukan meninggal dunia, petang tadi.
Mayat Kamariah Sungkim, 74, ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira 1.7 kilometer dari belakang rumahnya, pada 2.52 petang.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan terdapat seorang wanita dikhuatiri hilang di hutan, kira-kira jam 10 pagi tadi.
Katanya, menurut maklumat, mangsa keluar ke kebun kira-kira jam 9.30 pagi semalam dan disedari hilang pada waktu petang selepas tidak pulang ke rumah.
“Sepasukan anggota termasuk pegawai dari BBP Beaufort bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR)
“Selepas melakukan pencarian, mangsa temukan oleh agensi penyelamat 1.7 kilometer dari belakang rumah mangsa pada 2.52 petang tadi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 3 petang,” katanya. – Info X