SANDAKAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar memukat di laut Kampung Tinusa 2, Jambatan 6, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa Mohd Rajik Lirinu, 35, dikatakan keluar memukat di laut kira-kira 7 petang dan hanya bot dinaiki ditemukan hampir karam oleh kakitangan Taman-Taman Sabah ketika membuat rondaan.
Bot mangsa kemudian ditarik ke Pulau Selingan, di sini, hari ini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9 pagi tadi.
Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba berada di lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa. – Info X