TUARAN: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) melecur ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah didiaminya terbakar di Taman Wajah Jaya, Tamparuli, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.31 tengah malam.
Katanya, 13 anggota termasuk pegawai serta anggota bersama jentera pemadam serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hose reel jentera dan sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.04 pagi dan terdapat seorang mangsa OKU lelaki mengalami kecederaan melecur di bahagian leher dan siku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh Pasukan EMRS dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 2.03 pagi,” katanya. – Info X